Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini telah mengumumkan bahawa sekolah akan mula dibuka pada Rabu, 24 Jun 2020.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata sesi persekolahan itu membabitkan murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Apabila dibuka kelak, kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan mengambil kira penjarakan sosial adalah tidak melebihi 20 murid.

Mohd Radzi Jidin, berkata di dalam kelas, meja akan disusun pada jarak satu meter antara satu sama lain.

“Namun, untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti tentunya lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Perdana Putra, hari ini.

Kerajaan juga menetapkan bahawa pelajar yang mencatat bacaan suhu melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah apabila sesi persekolahan dibuka.

Dr. Mohd Radzi Md menjelaskan bahawa selepas suhu badan diambil, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang ditetapkan untuk ke kelas masing-masing.

Ketika di sekolah, katanya, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutama amalan mencuci tangan dengan kerap termasuk sebaik tiba, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.

Proses sanitasi antara dalam prosedur operasi standard (SOP) penting dalam pembukaan semula sekolah.

Dr Mohd Radzi Jidinmenjelaskan proses tersebut akan tertumpu kepada tempat yang selalu disentuh oleh pelajar seperti tombol pintu.

Beliau berkata, semua pihak yang hadir ke sekolah termasuk kakitangan dan pelajar akan diwajibkan saringan bagi pengambilan suhu badan sebelum dibenarkan masuk dalam kawasan sekolah.

“Tempat yang selalu disentuh pelajar termasuk tombol akan disanitasi, ini terdapat dalam SOP kita,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

“Sesiapa sahaja yang masuk ke sekolah perlu menjalani saringan imbasan suhu.

“Bagi pelajar yang tidak sihat, mereka akan dibawa ke bilik isolasi,” katanya.

KPM juga membuat ketetapan untuk meneruskan sesi pembelajaran di rumah yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemudahan dan akses yang disediakan di sekolah untuk kemudahan guru.

“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Anda boleh melihat sidang media penuh Dr. Mohd Radzi Md di bawah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here