KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Perdana Menteri berkata, penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

“Geografi dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya pada mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan di Putrajaya sebelum rakaman video ringkas mesyuarat itu dimuat naik dalam Twitter @chedetofficial, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan tidak menjelaskan bila bahasa Inggeris akan digunakan semula dalam pengajaran dua subjek berkenaan.

Perdana Menteri berkata, negara dan rakyat mahu melihat pembaharuan dalam sistem pendidikan.

“Saya mempunyai idea untuk pembangunan pendidikan di negara ini dan untuk itu saya mahu supaya kita boleh bekerjasama untuk mencapainya.

“Sudah tentu, pandangan saya tidak selalu popular atau diterima ramai tetapi saya rasa kita perlu berbuat sesuatu supaya anak-anak kita membesar dan dapat menangani masalah apabila mereka dewasa kelak. Ini selaras dengan tujuan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan ada kalanya timbul masalah perselisihan di antara kaum yang boleh menganggu pembangunan negara.

“Kebanyakan pembangunan Malaysia kerana adanya hubungan baik antara kaum di negara ini. Jika tiada persefahaman, sukar pembangunan hendak dilaksana.

“Jika negara tidak stabil, jika kita asyik berperang sesama sendiri, maka kita boleh lupakan saja soal pembangunan,” katanya.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada 2003 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.

Dasar itu menimbulkan bantahan dan dimansuhkan pada 2012 sebelum Kementerian Pendidikan memperkenal dasar Dual Language Program (DLP) pada 2016 yang memberi pilihan kepada sekolah menentukan sendiri jika ingin mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kelas DLP kini ada di hampir 1,300 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 23,000 pelajar.

SUMBER: BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here